اهلا وسهلا ومرحبا بكم

Photobucket

Rabu, 7 Januari 2009

Sejarah Umat Islam

Berfikir secara reflektif terhadap apa yang telah berlaku khususnya sejarah kedudukan umat Islam adalah amat penting untuk dijadikan sebagai asas pedoman melihat hari ini, masa depan, iktibar dan teladan. Perjalanan penyebaran risalah Ilahi demi pembangunan Ummah semenjak zaman Rasulullah s.a.w sehingga melewati zaman kegemilangan Islam pada abad ke 17 Masehi meninggalkan banyak catatan sejarah yang menunjukkan bahawa ia tidak pernah sunyi daripada cabaran dan tribulasi.

Umat Islam telah berdepan dengan pelbagai bentuk ujian yang bukan sahaja menguji kekentalan jatidiri dan ekonomi, tetapi mereka turut diuji dengan ancaman ke atas jiwa dan nyawa sejak dari penurunan wahyu pertama di Makkah sehingga kejayaan pembentukan masyarakat Madani di Madinah. Umat Islam pada ketika itu bukan setakat mampu mendepani setiap cabaran, bahkan telah berjaya meningkatkan kekuatan fizikal, mental dan spiritual sehingga mampu muncul sebagai “peneraju tamadun manusia” di saat Barat dan Eropah masih lagi tenggelam di dalam “zaman kegelapan”. Lambang kegemilangan ini telah ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud:

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Daya berfikir dan kreativiti ulama, ilmuan dan sarjana Islam terdahulu dalam menghasilkan kejayaan ketamaddunan amat mengkagumkan. “Bapa Pembedahan”, Abu al-Qasim Khalaf bin ‘Abbas Az-Zahrawi (lahir 940 Masehi di Cordoba, Sepanyol) umpamanya telah menghafaz al-Quran pada awal umur dan menjadikan al-Quran sebagai sumber utama dalam mengembangkan pemikirannya. Beliau secara kreatif telah mendalami ilmu perubatan bagi menghasilkan alat-alat perubatan serta berupaya melakukan pembedahan pesakit sehingga ke tahap kepakaran. Inilah di antara contoh bagaimana al-Quran dijadikan sebagai suluh hikmah, pedoman, nilai serta ilmu dalam menjana idea dan pemikiran kreatif.

Namun begitu, akibat daripada serangan dalam bentuk ketenteraan, ekonomi dan pemikiran yang bertalu-talu ke atas umat Islam tatkala Barat dan Eropah mencapai zaman kebangkitan dalam perindustrian dan pembangunan material, akhirnya pada penghujung kurun ke 16 Masehi telah menyaksikan kejatuhan bumi umat Islam ke tangan Barat termasuklah Malaysia yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Sejarah Melayu mengisahkan di puncak kehebatan Melayu, terdapat lapan puluh empat dialek atau bahasa diucapkan di pelabuhan atau di bazar-bazar di Kota Melaka. Kemajuan aktiviti perdagangan dan hubungan antarabangsa Tanah Melayu pada ketika itu akhirnya ranap dengan kejayaan Portugis memasuki Melaka pada 1511 Masehi.